PETALING JAYA – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang digilis sebuah kereta di Kilometer 35.4 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.24 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai dan tiba pada pukul 9.37 pagi.
“Seorang lelaki digilis oleh kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ismail Yusof bersama lima anggota lain dengan sebuah jentera jenis FRT digunakan dalam operasi tersebut.
Setakat ini, identiti mangsa belum didedahkan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE