fbpx
Gambar hiasan

Kolaborasi Perkeso-NEO pacu inovasi, perkukuh hadapi cabaran pasaran kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kolaborasi antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (NEO) menandakan komitmen Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk menerapkan amalan terbaik global.

Kerjasama strategik itu juga dijangka mampu memacu inovasi serta memperkukuh keupayaan Malaysia dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang sentiasa berubah.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara dua agensi tersebut menjadi landasan penting ke arah peningkatan kualiti perkhidmatan pekerjaan dan sistem perlindungan sosial negara.

“Jika dibandingkan dengan Belgium, sistem keselamatan sosial di Malaysia masih berkembang dan beberapa aspek boleh diperkukuh, terutama dalam skim perlindungan keselamatan insurans
pekerjaan dan lain-lain aspek.

“(Ini) termasuk penguatkuasaan, liputan dan integrasi yang melibatkan kedua-dua sektor pekerjaan formal dan tidak formal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pertukaran MoU antara Perkeso dan NEO di Brussels, Belgium, semalam.

MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif NEO, Dr. Jean Marc Vandenbergh turut disaksikan Steven Sim.

Melalui kolaborasi itu, Perkeso bakal meneroka transformasi digital, strategi pembangunan serta usaha membanteras penipuan rentas sempadan di peringkat global yang dilaksanakan oleh NEO.

Mengulas lanjut, Steven menyifatkan Belgium mempunyai sistem perlindungan sosial yang kukuh dengan faedah pengangguran dan program latihan semula yang berkesan.

Negara itu juga katanya, terkenal dengan latihan vokasional serta kepakaran dalam sektor teknologi tinggi dan inovasi.

“Kerjasama ini turut merangkumi sektor teknologi dan inovasi, yang berpotensi memperkukuh dasar pekerjaan dan perlindungan sosial untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI