TEHRAN – Letupan kedengaran pagi ini di Tehran, lapor stesen televisyen kerajaan, ketika Israel melancarkan ‘serangan pencegahan’ ke atas Iran.
“Letupan kuat kedengaran di beberapa lokasi berbeza di ibu negara, Tehran,” stesen televisyen kerajaan tanpa memberikan butiran lanjut. Koresponden AFP turut mendengar bunyi letupan itu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata pagi ini bahawa Israel melancarkan serangan awal ke atas Iran, manakala Tel Aviv menjangkakan ‘Tehran akan melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap Israel dan penduduk awamnya dalam masa terdekat’.
Perkembangan itu berlaku selepas Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa Israel mungkin akan menyerang tapak nuklear Iran.
Terdahulu, Trump menggesa Israel untuk menangguhkan serangan sambil menegaskan komitmennya untuk mencari penyelesaian diplomatik.
“Saya tidak mahu mengatakan ia hampir berlaku, tetapi nampaknya ia adalah sesuatu yang mungkin akan berlaku,” kata Trump kepada pemberita di White House ketika ditanya sama ada serangan Israel akan berlaku.
Tentera Israel berkata bahawa pihaknya menamatkan serangan fasa pertama yang menyasarkan tapak nuklear dan ketenteraan Iran.
“Sebentar tadi, berpuluh-puluh jet tentera udara Israel menamatkan fasa pertama menyerang berpuluh-puluh sasaran tentera termasuk sasaran nuklear di kawasan berlainan di Iran,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan. – AFP