fbpx
PERLU lebih berhemah ketika menjadi pencipta kandungan di media sosial.

Buat kandungan tular jangan sampai menipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SATU Malaysia kena tipu gara-gara tular video pertengkaran ‘suami isteri’ di sebuah pasar raya yang sedang membeli-belah barangan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Dalam video tersebut, kelihatan kedua-dua ‘pasangan’ itu bergaduh mulut sebelum si lelaki mengambil barangan makanan di dalam troli dan mencampakkannya di atas lantai.

Video drama rumah tangga berkenaan tular di media sosial, sehingga ada beberapa portal dan media melaporkan kejadian tersebut.
Bagaimanapun, ia hanyalah sekadar konten dan turut dijelaskan oleh pelakon dan pemilik ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor bahawa ia hanyalah gimik pelancaran pakej umrah.

Dalam pada itu, ramai juga yang tidak bersetuju dengan konten berkenaan kerana selain menipu, tindakan mencampakkan makanan merupakan kelakuan tidak boleh diterima.

Walaupun ada yang terhibur dengan konten tersebut, mereka juga menyatakan kebimbangan sekiranya ‘prank’ dan lakonan penipuan seperti itu semakin menjadi-jadi.

Sudahnya apabila berlaku kejadian sebenar di depan mata, masyarakat tidak peduli dan tidak mahu membantu kerana dibimbangi ia sekadar konten.

Konten berbentuk gimik dan menipu sedemikian sehingga menyusahkan orang di sekeliling bukanlah budaya di Malaysia, lebih-lebih lagi dalam kalangan umat Islam.

Jika dahulu sebelum adanya media sosial, rancangan berbentuk ‘prank’ iaitu Just For Laughs pernah popular dan ditayangkan di televisyen tempatan sekitar tahun 2000-an.

Kemudian, beberapa rancangan televisyen berbentuk ‘prank’ turut dihasilkan di Malaysia oleh produksi tempatan. Islam tidak menghalang umatnya untuk berjenaka atau bergurau senda.

Bagaimanapun, gurauan itu tidak boleh berlebih-lebihan atau melampaui batas sehingga mengundang fitnah kepada agama. Tambah lagi dengan konten menipu.

Seperti teguran oleh pendakwah bebas, Dr. Ahmad Kamil Jamilin kepada pembuat konten, mereka dinasihatkan untuk tidak sesekali menghasilkan kandungan
berbentuk penipuan hanya semata-mata mahu menjadi popular.

“Kita tahu zaman ini manusia berlumba-lumba menarik perhatian, nak naikkan rating dan popular. Begitupun, jangan sesekali kita menipu orang dengan konten kita.

“Tidak kiralah untuk ‘prank’ atau sekadar melawak atau apa tujuan sekalipun, sebab Nabi Muhammad SAW melarang keras kita menipu, berdusta walau apa tujuannya.

“Bahkan menipu untuk sekadar orang tertawa. Nabi SAW kata, ‘celaka atau baginya neraka wail’,” katanya.

Beliau turut memetik hadis Bukhari yang mana Nabi Muhammad SAW memberi peringatan keras kepada umat Islam berhubung penipuan dan pendustaan.

“Hadis itu bermaksud ‘hindarilah kalian daripada berdusta, sesungguhnya dusta itu membawa kepada dosa dan penyimpangan kebenaran, perkara tersebut membawa pelakunya kepada negara’.

“Orang yang sering berdusta dan mencari-cari untuk berdusta, akhirnya akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta. Ingat pembuat konten, kita nakkan syurga Allah bukan neraka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN