PETALING JAYA – Satu tinjauan sosial yang dijalankan seorang pengguna Facebook, Hasbi baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat apabila mendapati sebahagian wanita di Malaysia mengakui memilih pasangan berdasarkan jenama atau logo kereta yang dipandu lelaki.
Semakan Kosmo! ke atas lebih 1,000 komen ditinggalkan netizen menunjukkan bahawa lebih separuh daripada mereka mengaitkan logo kereta mewah seperti Honda, Mercedes-Benz dan BMW sebagai faktor tarikan terhadap seseorang lelaki.
Menurut pengguna Facebook, Nur Alia, lelaki yang mampu memandu kereta mewah membuktikan kewangan mereka stabil dan layak dijadikan pasangan hidup.
“Bukan nak materialistik, tapi kereta tu sedikit sebanyak tunjuk tahap kehidupan seseorang. Kalau lelaki tu pandu kereta biasa pun tak apa, tapi kalau bawa kereta mewah, mesti kita tertanya-tanya siapa dia,” katanya.
“Percaya atau tak, lelaki pandu Honda, BMW, karakter dia berbeza dengan yang pandu Myvi, Kelisa. Kalau tak percaya cuba dekati mereka. Confirm (sudah tentu) korang tak pandang dah abang Myvi,” kata wanita lain.
“Logo kereta menjadi lambang kejayaan. Hidup sekarang tak boleh atas dasar cinta semata, kewangan yang stabil perlu jadi keutamaan dalam perhubungan zaman sekarang,” kata Aisy.
Walau bagaimanapun, ada juga yang tidak bersetuju dengan pandangan kebanyakan wanita ini.
“Kalau pilih lelaki ikut kereta, nanti kahwin dengan kereta lah. Cinta tak boleh bergantung pada lambang atas stereng,” komen Haliza. – KOSMO! ONLINE