BESUT – “Harapan kami sewaktu menghantar anak sulung (Nur Dalila Farhana) ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk membawa pulang segulung ijazah. Tidak sangka sijil kematian yang kami terima hari ini.”
Demikian kata Mohamed Isma Abdul Manaf, 47, ketika menerima sijil kematian anaknya, Nur Dalila Farhana, 21, yang terkorban dalam kemalangan bas persiaran bersama 14 yang lain di Gerik, Perak pada Isnin lalu.
Pesara tentera itu berkata, dia dan isterinya, Norinda Kasim, 49, menaruh harapan besar sewaktu menghantar Nur Dalila Farhana menyambung pengajian dalam Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UPSI pada September lalu.
“Arwah bercita-cita menjadi pendidik dan contoh terbaik buat dua adiknya. Bagaimanapun hajat itu tidak kesampaian.
“Kami reda urusannya di dunia ini sudah berakhir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Tok Dor di sini hari ini.
Terdahulu, keluarga Nur Dalila Farhana menerima sijil kematian anak mereka daripada Pengarah Pendaftaran Terengganu, Mohamad Nasir Kareem.
Sementara itu, Mohamad Nasir berkata, Jabatan Pendaftaran Negara mengambil inisiatif memudahkan pengeluaran sijil kematian 15 pelajar UPSI dari daerah ini dan Setiu yang terkorban dalam nahas tersebut.
“Sebanyak 13 daripada 15 permohonan sijil kematian mangsa diluluskan, manakala dua lagi masih dalam proses,” katanya. – KOSMO! ONLINE