BESUT – Ibu bapa Nur Dalila Farhana Mohamad Isma yang terkorban dalam nahas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak dapat menahan sebak menerima barang peribadi Allahyarham yang tiba hari ini.
Mohamad Isma Abdul Manaf, 47, yang merupakan pesara tentera dan isterinya, Norinda Kasim, 49, tidak dapat menahan air mata sewaktu membuka beg dan kotak mengandungi barangan peribadi anak sulungnya.
Norinda berkata, hatinya luluh sebaik menatap sehelai baju blouse Nur Dalila Farhana yang sedondon dengannya.
“Baju blouse itu dipegang dan dicium, masih kuat bau badan dia (Nur Dalila Farhana). Kami beli bersama-sama lebih lima tahun lalu.
“Sayu sebab hanya barang-barang yang pulang, orangnya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Tok Dor di sini hari ini.
Terdahulu Mohamad Isma mengambil barangan peribadi anaknya yang dihantar konvoi UPSI di pekarangan Masjid Hadhari, Jerteh di sini semalam.
Norinda berkata, Nur Dalila Farhana, 21, sebagai anak sulung daripada tiga beradik amat manja dan rapat dengannya.
Suri rumah itu berkata, arwah juga harapan keluarga dan bercita-cita menjadi pendidik. – KOSMO! ONLINE