JAKARTA – Seorang lelaki di wilayah Sumatera Selatan ditahan selepas menetak ketua jawatankuasa sebuah masjid kerana tidak melibatkannya dalam pengurusan ibadah korban, lapor portal berita Satu semalam.
Kejadian berlaku di pekarangan Masjid Haqqul Yakin dekat Palembang pada 7 Jun lalu.
Ketua Polis Sektor Seberang Ulu I, AKP Heri berkata, suspek dikenali sebagai D berbuat sedemikian kerana berasa tersinggung dan sakit hati.
“Suspek mengaku tidak berpuas hati kerana tidak dilibatkan dalam jawatan penyembelihan korban,” kata Heri.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menghampiri mangsa yang sibuk memotong daging korban sebelum menetak wajahnya dengan sebilah parang.
“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka. Dia sedang dirawat di Hospital Umum Palembang.
“Suspek sempat melarikan diri ke Ogan Illir, namun akhirnya menyerahkan diri kepada polis,” tambah Heri. – AGENSI