LONDON – Segala spekulasi akhirnya terlerai apabila juara dunia dua kali Superbike, Toprak Razgatlioglu sah akan beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2026 bersama Prima Pramac Yamaha.
Pengumuman rasmi itu menamatkan teka-teki masa depan pelumba Turkiye berusia 29 tahun itu yang kini bersaing dengan BMW di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).
Kontrak baharu itu menyaksikan Toprak kembali ke ‘keluarga Yamaha’, namun kali ini dalam kategori MotoGP, selepas kali terakhir meraih gelaran dunia bersama pengeluar itu pada 2021.
“Kami amat teruja menyambut semula Toprak ke dalam keluarga Yamaha. Dia adalah pelumba paling berjaya Yamaha dalam Superbike dan semangat juangnya selari dengan hala tuju kami di MotoGP,” kata Pengarah Urusan Yamaha Racing, Paolo Pavesio.
Walaupun hanya terikat untuk semusim, kehadiran Toprak dijangka memberi impak besar kepada pelan jangka panjang Yamaha dan Pramac yang akan menjadi pasukan satelit rasmi pengeluar Jepun itu bermula musim 2026.
Sebagai rekod, Toprak pernah berlumba untuk Yamaha selama tiga tahun dari 2020 hingga 2023 dalam WorldSBK dengan mencatat 37 kemenangan dan satu gelaran dunia.
Langkah itu juga bermakna salah seorang daripada dua pelumba sedia ada Pramac iaitu Jack Miller atau Miguel Oliveira perlu memberi laluan.
Miller yang kontraknya bakal tamat hujung tahun ini dilihat sebagai calon utama, manakala Oliveira pula dijangka meninggalkan pasukan pada penghujung musim ini. – AGENSI