SHAH ALAM – Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemui dalam ladang kelapa sawit, Julai tahun lalu.
Tertuduh, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 27, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Julia Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian Nur Farah Kartini, 25, di Ladang SKC Kledang, Mukim Hulu Bernam, Hulu Selangor antara antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga pukul 6 petang, 15 Julai 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman memohon tarikh baharu bagi penyerahan dokumen.
Muhammad Alif pula diwakili peguam Aida Zainuddin dan Aida Jaafar.
Turut menyertai prosiding tersebut adalah Peguam Goh Chee Kian, Mohd. Norazihan Adnan dan Mona Anak Leonard Lubon sebagai peguam pemerhati keluarga.
Prosiding tersebut juga dihadiri ahli keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini selain kakak kepada Muhammad Alif.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai 2024, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai oleh pihak polis di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE