GERIK – Pengendali bas persiaran yang terbabit dalam nahas mengorbankan 15 pelajar universiti di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli didapati gagal dalam Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JISA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, terdapat tujuh perkara mandatori dalam audit itu yang gagal dipatuhi.
Katanya, tujuh perkara itu adalah keperluan pegawai keselamatan atau penyelia keselamatan, kelajuan dipantau oleh GPS, had maksimum lapan jam pemanduan dipatuhi oleh pemandu dan keperluan waktu rehat 30 minit setiap empat jam pemanduan.
Selain itu GPS dipasang dalam semua kenderaan, pelan tindakan kecemasan (ERP) dan hotline syarikat disediakan untuk aduan pelanggan.
“Syarikat itu dari segi audit memang gagal. Ada tujuh perkara mandatori yang kita audit dan memang gagal dalam perkara tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau bangkai bas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.
Anthony berkata, beliau mengarahkan JPJ untuk membuat audit JISA secara besar-besaran ke atas semua syarikat pengendali pengangkutan awam termasuk bas.
Tegasnya JISA bukan perkara baharu, sebaliknya dilakukan sepanjang masa secara berkala, namun mengakui tahap pematuhannya sangat lemah.
“Mereka (syarikat pengendali) tahu syarat-syarat ini tetapi dari segi pematuhan memang sangat lemah. Saya beri amaran kepada semua syarikat pengendali, lebih baik patuh dan buat audit sebelum JPJ masuk (mengaudit).
“JPJ akan mengadakan operasi mengaudit syarikat-syarikat pengendali ini secara besar-besaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE