PETALING JAYA – Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberikan kata-kata semangat kepada barisan Harimau Malaya yang berjaya menundukkan Vietnam 4-0 sebelum perlawanan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menerusi perkongsian oleh @Hrhcrownprinceofjohor yang memaparkan situasi di bilik persalinan, menganggap kemenangan itu sebagai simbol permulaan kepada revolusi bola sepak tanah air.
“Kita cuba membawa bola sepak tanah air kepada tahap yang lebih tinggi. Ini adalah revolusi dan membawa kepada peringkat seterusnya.
“Apa sahaja yang kita bina dan rancang tiada maknanya jika tiada keputusan dan pencapaian. Apa yang kita bina adalah kosong jika tiada keputusan,” titah baginda.
Baginda juga tidak menafikan masih ada pihak yang skeptikal terhadap usaha perubahan yang sedang dijalankan, namun percaya bahawa prestasi pasukan mampu menjawab segala keraguan.
“Terdapat sesetengah pihak yang tidak percaya, tidak mengapa. Kita tengah buat sesuatu yang baru. Biarkan prestasi bercakap lebih lantang daripada apa yang mereka fikirkan.
“Inilah masanya untuk tunjukkan diri kita yang sebenar. Jika kita berjaya menukar bola sepak tanah air ini, ia adalah sebab anda semua. Anda adalah pejuang,” titah baginda.
Dalam aksi pada Selasa, Malaysia mencatat kemenangan 4-0 sekali gus menamatkan kemarau kemenangan selama 11 tahun ke atas pasukan yang berada di ranking ke-109 dunia itu. – KOSMO! ONLINE