GEORGE TOWN – Polis menyelamatkan tiga lelaki warga asing yang dipercayai dikurung dalam sebuah rumah pangsapuri di sini, hasil serbuan yang dijalankan semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 47 tahun yang memaklumkan mengenai kejadian rakannya dikurung di sebuah pangsapuri di George Town.
“Bertindak atas maklumat tersebut, kira-kira pukul 2 petang semalam, sepasukan polis telah menjalankan serbuan di lokasi yang dimaksudkan dan berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing berumur antara 28 hingga 52 tahun.
“Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan sihat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, polis turut menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan berumur antara 40 hingga 56 tahun dan seorang wanita warga asing berumur 40 tahun yang dipercayai berperanan menjaga mangsa-mangsa terbabit.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah dan semua suspek telah direman selama empat hari hingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE