fbpx
Anthony Loke (empat dari kanan) bersama beberapa Menteri ketika bergambar bersama logo Malaysia Madani pada sidang akhbar mingguan dan pengumuman logo serta tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Nahas UPSI: MOT wujud pangkalan data, tapis pemandu bermasalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membangunkan satu sistem pangkalan data komprehensif melibatkan semua pemandu bas pengangkutan awam, termasuk bas ekspres dan bas persiaran bagi menapis pemandu yang mempunyai rekod atau kesalahan lampau.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem berkenaan akan dibangunkan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan pengangkutan awam.

“Ketika ini, tiada sistem berpusat yang menyenaraikan latar belakang pemandu.

“Syarikat hanya bergantung kepada lesen memandu tanpa mengetahui sama ada individu itu pernah terlibat dalam kes kecuaian atau kesalahan serius,” katanya dalam sidang akhbar di Angkasapuri di sini hari ini.

Menurutnya, sistem tersebut amat penting bagi mengelakkan pemandu bermasalah berpindah daripada satu syarikat ke syarikat lain tanpa pemantauan atau penilaian sewajarnya.

“Ada juga kes yang mana pemandu dipecat daripada syarikat A kerana masalah disiplin atau prestasi, namun masih boleh bekerja di syarikat B kerana tiada sistem rujukan. Melalui pangkalan data ini, syarikat dapat menyemak terlebih dahulu latar belakang pemandu,” ujarnya.

Katanya, selain pembangunan pangkalan data, Jemaah Menteri juga telah mengarahkan MOT untuk memberi penekanan terhadap aspek operasi, penilaian, serta latihan pemandu bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Ia susulan tragedi menyayat hati yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas bas yang membawa mereka terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak pada Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI