BENTONG – Polis meminta seorang lelaki yang mendakwa mengalami gangguan seksual daripada seorang penjual belon di Genting Highlands agar tampil membuat laporan polis.
Dalam hantaran TikTok yang tular semalam, lelaki berkenaan mendakwa seorang penjual belon memberikannya belon percuma sebelum diajak makan pisang di dalam sebuah bilik.
Bagaimanapun lelaki berkenaan memintanya menunjukkan kemaluan dan menawarkan RM50 sebagai ganjaran sebelum dia bertindak melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, tiada laporan polis diterima berkaitan kes itu setakat ini.
“Pihak polis memohon pemilik akaun TikTok https://vt.tiktok.com/ZSkPo8KH3/ untuk tampil ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, semakan awal polis terhadap isi kandungan pemilik TikTok berkenaan mendapati ada beberapa kejadian yang hampir sama menunjukkan dia menjadi mangsa cubaan perlakuan jenayah di beberapa lokasi lain.
Dalam pada itu beliau meminta kerjasama mana-mana pihak yang mengalami kejadian seperti itu agar menghubungi pihak polis atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE