PETALING JAYA – Tempoh pukul 6 hingga 8 pagi dikenal pasti waktu paling tinggi berlakunya kes kemalangan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan khususnya melibatkan penunggang berusia 16 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, analisis itu dibuat susulan peningkatan ketara jumlah kemalangan membabitkan motosikal di lebuh raya tersebut.
“Sejak Januari hingga Mei lalu, sebanyak 204 kes kemalangan direkodkan di bawah pentadbiran Petaling Jaya meningkat 53 kes atau 35.1 peratus berbanding 151 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas Ops Motosikal hari ini.
Menurut beliau, walaupun kemalangan maut kekal dua kes dan tiada kecederaan parah, kes ringan menunjukkan peningkatan dua kes.
Katanya, penunggang motosikal terus mencatatkan angka kematian tertinggi dalam kemalangan jalan raya di daerah ini.
“Sebanyak 52 kematian direkodkan tahun lalu melibatkan penunggang motosikal. Manakala bagi tempoh Januari hingga Mei lalu pula sebanyak 34 kematian direkodkan,” ujarnya.
Shahrulnizam berkata, antara punca utama kemalangan dikenal pasti adalah memandu secara berbahaya termasuk mengekori terlalu rapat, gagal mengawal kenderaan hingga terbabas sendiri, keletihan dan mengantuk.
Secara keseluruhannya, sebanyak 45,958 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal sepanjang tahun lalu atas pelbagai kesalahan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE