PETALING JAYA – Tragedi mengerikan yang meragut nyawa seramai 15 penuntut dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meninggalkan kesan duka yang amat mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kejadian ini bukan sahaja menyentuh hati keluarga dan rakan-rakan mangsa tetapi juga jiwa masyarakat di seluruh negara.
Di pelbagai platform media sosial, rakyat Malaysia meluahkan perasaan sedih dan simpati mereka melalui pelbagai hantaran.
Sebuah hantaran yang dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Mie Che Hussin di platform Facebook menunjukkan orang ramai membanjiri Masjid Hadhari Jerteh untuk bersama-sama menyertai solat jenazah mengiringi pemergian mangsa yang terkorban.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna media sosial meluahkan rasa hiba terhadap hantaran tersebut.
“Mereka berkumpul di sini untuk balik ke kampus dan mereka dikumpulkan di sini untuk disolatkan” ujar @Che Deen.
“Pergi bersama-sama untuk menuntut ilmu dan Inysa-Allah berkumpul bersama-sama di syurga Allah” komen @Salwa Yussof.
Melalui sebuah hantaran milik @Besut Berkat Sejahtera di platform yang sama menunjukkan orang ramai menunggu di tepi jalan di bandar Gerik untuk memberikan penghormatan terakhir buat kesemua mangsa.
“Inilah kebanggan kita memiliki rakyat yang prihatin dan berjiwa lembut. Al fatihah buat mangsa” ujar @Mohd. Faizal Mohamad
“Tidur di dunia, bangun di syurga,” ujar @Nuralia maisara. – KOSMO! ONLINE