KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi buatan (AI) oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menghalang pencerobohan di Kalabakan, Sabah baru-baru ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, TDM sudah menggunakan teknologi AI sejak negara dilanda wabak Covid-19 semasa pelaksanaan operasi menyelamatkan sempadan negara, Op Benteng.
Beliau berkata, sistem yang digunakan iaitu Intrusion Detection System berfungsi dengan mengesan pergerakan dan gegaran.
“Peralatan ini ada di setiap formasi yang menjalankan tugas di perbatasan.
“Apa yang kita lihat, penggunaan AI ini cukup membantu TDM dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan di perbatasan terutama dalam menjaga kedaulatan di sempadan Malaysia – Thailand dan juga di Kalimantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ibadah Korban Perdana Peringkat Tentera Darat 2025, di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Tengku Muhammad Fauzi berkata, keberkesanan sistem itu terbukti apabila pihaknya berjaya mengesan pergerakan dua individu yang cuba meloloskan diri di Laluan Haram 8, Kalabakan, Sabah Ahad lalu.
“Ini menunjukkan bahawa TDM sentiasa bersedia dalam memastikan teknologi digunakan dengan sebaik mungkin dan kita percaya di masa hadapan lebih banyak yang boleh digunakan seiring dengan teknologi pertahanan semasa.
“TDM sentiasa terbuka dengan teknologi-teknologi baharu dan anggota-anggota kita memang dilatih secara khusus, termasuk graduan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didedahkan dengan pembelajaran dalam bidang AI,” katanya. – KOSMO! ONLINE