fbpx

‘Saya tak sanggup tonton video kemalangan sampai habis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Perodua Alza yang dinaiki anak dan menantu serta dua cucu Norlian (gambar kecil) selepas terlibat nahas dengan bas membawa penuntut UPSI di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak awal pagi semalam.

BALING – “Saya bersyukur kerana anak, menantu serta dua cucu terselamat walaupun kenderaan mereka rosak agak teruk.”

Demikian luahan syukur Norlian Abd Halim, 58, ibu pemandu Perodua Alza, Mohd. Lutfi Radzi, 37, yang cedera dalam nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik, Perak awal pagi semalam.

Norlian bagaimanapun mengakui sedih dengan pemergian 15 pelajar UPSI dalam kemalangan ngeri pada pukul 12.45 tengah malam itu.

“Saya tengok video kemalangan tetapi tidak sanggup (tonton) sampai habis sebab tak sampai hati dan rasa sedih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pondok Ustaz Bakar, Parit Panjang, di sini malam tadi.

Menurut Norlian, anaknya yang juga seorang guru dan cucu lelaki, Muhammad Ahsan Nafis, 2, cedera ringan, manakala menantu, Nurul Ain Zakaria, 35, dan seorang lagi cucu, Nur Aisyah Nafishah, 6, mengalami kecederaan agak serius.

“Menantu saya yang juga guru patah tulang rusuk kiri, manakala cucu perempuan pula patah kaki kanan. Saya dimaklumkan cucu lelaki tercampak dalam longkang tetapi alhamdulillah dia tidak cedera teruk,” ujarnya.

Tambah wanita itu, anaknya telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini menjaga isteri dan anaknya di Hospital Baling.

“Kami tidak dibenarkan melawat menantu dan cucu di hospital. Saya hanya ke hospital untuk menghantar lampin pakai buang cucu,” katanya.

Kejadian berlaku ketika empat beranak tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah di Baling selepas menyambut Aidiladha di rumah mentua di Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI