PETALING JAYA – Setelah menjalani pelbagai kajian makmal dan proses R&D, produk kunyit hitam (curcuma caesia) keluaran Naturmeric akhirnya kini berada di pasaran seluruh Malaysia.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Naturmeric, Ahmad Radhi Zakaria berkata, ketika ini produk tersebut telah selesai menjalani ujikaji in vitro, menuju ke peringkat in vivo pada tikus untuk mendapatkan data keselamatan dan keberkesanan.
Jelasnya, selepas selesai ujian makmal, Naturmeric menetapkan standard baharu dalam industri herba tempatan dengan mengamalkan pendekatan QSECA – Quality, Safety, Environment, Compliance & Assurance yang setaraf dengan piawaian industri farmaseutikal.
Menurut beliau, setiap produk diuji secara saintifik, bebas bahan berbahaya, mesra alam, patuh kepada regulasi dan disokong oleh jaminan mutu melalui kerjasama strategik bersama universiti penyelidikan.
“Pada masa sama, impian kami juga adalah untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan beberapa negara lain dalam masa terdekat.
“Kami juga akan bawa dan promosikan produk Naturmeric di sana nanti, katanya sambil menambah Naturmeric juga menjadi penaja utama acara permotoran SupercarGang Malaysia 6th Annual Gathering X Retro Havoc di sini baru-baru ini.
Tambah Ahmad Radhi, kapsul kunyit hitam keluarannya juga bebas daripada bahan kimia dan ia telah menjalani 365 ujian bebas kimia serta disahkan oleh makmal bertaraf antarangsa di SGS Taiwan
Selain itu, pihaknya kini memiliki kebun yang ditanam kunyit hitam seluas 16 hektar di Johor Bahru sebagai usaha syarikat untuk tidak bergantung kepada bekalan import.-KOSMO! ONLINE