PETALING JAYA – Korban waktu tidur seawal pukul 3 pagi biarpun bukan waktu kerja, antara pengorbanan kakitangan Hospital Gerik bagi memberikan rawatan kepada mangsa susulan kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, pagi semalam.
Menerusi perkongsian pegawai perubatan Dr. Muhammad Adam Muskhan pada Facebook, beliau menyifatkan kejadian tersebut merupakan satu pengalaman pahit dan manis yang sukar dilupakan bagi hospital kecil seperti Hospital Gerik.
“Namun, apa yang paling terkesan di hati saya adalah komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh para staf.
“Seawal pukul 3 pagi, sudah terpacak bersedia menerima arahan dan kes, berjuang melawan nikmatnya tidur walau bukan dalam waktu kerja. Inilah wira-wira yang tak didendang.
“Sering disalah erti, namun apabila tiba saatnya, kitalah yang berdiri di barisan hadapan, menyumbang bakti tanpa banyak bicara,” katanya pada hantaran tersebut.
Beliau turut berterima kasih kepada semua staf Hospital Gerik yang terlibat dalam tugasan tersebut.
“Andalah hero saya. Tanpa kalian, perjalanan pagi tadi pastinya terasa jauh lebih panjang dan sukar. Hari ini kita buktikan bila kita bersama, kita boleh atasi cabaran.
“Tidak dilupakan juga, terima kasih kepada PKD (Pejabat Kesihatan Daerah), bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan semua agensi yang turut sama berganding bahu. Anda semua memang terbaik,” ujarnya.
Dr. Muhammad Adam turut mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan keluarga yang terkesan selain mendoakan mereka diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian tersebut.
Semalam Kosmo! melaporkan, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk 10 perempuan maut selepas bas yang dinaiki terlibat nahas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Jeli-Gerik pukul 12.45 tengah malam, semalam.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih menghala ke kampus UPSI di Tanjung Malim.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Baling. – KOSMO! ONLINE