PETALING JAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan, lokasi kejadian yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan antara seksyen telah dikenal pasti bagi kerja membaik pulih pada tahun ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Beliau berkata, pebagai inisiatif telah diambil oleh pihak kementerian bagi membaik pulih laluan Gerik-Jeli, terutamanya di FT04.
“Pada bulan Jun 2023, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membina semula sebahagian laluan di FT04, manakala pada bulan Ogos tahun yang sama, Perdana Menteri telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta lagi untuk menaiktaraf laluan Gerik-Jeli.
“Peruntukan ini telah digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di beberapa seksyen kritikal FT04,” katanya dalam satyu kenyataan, sebentar tadi.
Tambah Alexander, antara kerja-kerja yang dilaksanakan adalah seperti Berkala Pavemen/ Turapan semula jalan, Berkala Bukan Pavemen/ pembaikan perabot jalan, Pembaikan Jambatan dan pembaikan lampu jalan / lampu isyarat, merangkumi kedua-dua arah laluan (L&R).
“Semua kerja telah disiapkan secara berperingkat antara Julai hingga Ogos 2023 melibatkan kos sebanyak RM55.73 juta berdasarkan tahap kerosakan jalan yang dinilai melalui ‘Pavement Condition Assessment’ (PCA) di FT04.
“Pada tahun 2024 pula, sejumlah RM7.2 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai kerja pembaikan di beberapa seksyen lain di laluan ini,” katanya.
Katanya lagi, dalam situasi semua pihak terutamanya keluarga mangsa masih berdukacita dengan insiden yang tidak diingini ini, Alexander amat berharap agar semua dapat memberi kerjasama dan ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan.
“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, kementerian akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan infrastruktur jalan raya adalah selamat dan selesa untuk pengguna jalan raya.
“Dalam pada masa yang sama, perlu saya tekankan keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua termasuklah pengguna jalan raya,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.