SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah memantau perkembangan pasangan guru yang terbabit dalam nahas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik di Perak semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya berdukacita terhadap insiden berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru terbabit.
“Kita dapat kenal pasti pasangan guru semalam yang telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Baling yang kini dalam keadaan stabil.
“Kita juga telah mengarahkan JPN Kedah untuk mengambil tanggungjawab dan komitmen untuk memantau keadaan pasangan terbabit dan keluarganya. Maka dari segi kebajikan dan juga pemantauan berkaitan dengan kebajikan pasangan guru ini kita akan pantau dan beri bantuan bersesuaian dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keluarga pemandu Perodua Alza yang turut mengalami kecederaan serius selepas terlibat dalam nahas terbabit.
Mohd Lutfi Radzi,37, dilaporkan tercampak keluar akibat impak kuat pelanggaran, manakala isterinya, Nurul Ain Zakaria,35, serta dua anak mereka Nur Aisyah Nafishah,6, serta Muhammad Ahsan Nafis,2, kini sedang dirawat di Hospital Baling.
Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat berkaitan isu penggunaan bas dan langkah keselamatan membabitkan para pelajar yang mengikuti program lawatan.
Katanya, SOP dan peraturan-peraturan itu telahpun diperjelaskan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 9 Tahun 2023 untuk dijadikan panduan oleh para guru pengiring dan ahli-ahli rombongan. – KOSMO! ONLINE