PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan serta syor daripada beberapa pihak bagi mengelak nahas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam berulang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, antara syor diterima termasuk memastikan perjalanan pelajar universiti dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam.
Beliau berkata, pihaknya berterima kasih di atas pandangan dan syor diberikan, namun ia juga perlu dengan lebih menyeluruh termasuk keadaan jalan, tahap keselamatan kenderaan dan beberapa aspek lain.
“Ada yang mengesyorkan supaya perjalanan bagi pelajar-pelajar universiti dan mahasiswa sekarang ni perlu dibuat pada waktu siang dan tidak lagi di waktu malam.
“Saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam bahawa kita juga kena periksa kenderaan, keadaan jalan dan semua aspek lain,” katanya ketika ditemui pada sesi ‘Luncheon Talk With Editors’ Sempena Program Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 KPT, di sini hari ini.
Katanya, beliau sendiri sempat menziarahi ahli keluarga dan mangsa yang cedera dalam nahas itu Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Baninun (HRPB), semalam.
Zambry berkata, beliau secara peribadi bersimpati dengan nasib menimpa mangsa dan perasaan sedih dihadapi ahli keluarga
“Kasihanlah tengok, saya tidak dapat bayangkan mereka (mangsa) balik untuk jumpa keluarga dan bila mahu balik ke kampus (UPSI).
“Ada ahli keluarga yang hantar mereka naik bas (pada malam itu) dan ada yang ‘bye-bye’ kepada Ibu bapa mereka dan selepas empat jam tiba-tiba (nahas),” katanya. – KOSMO! ONLINE