SKUAD Harimau Malaya sedia untuk menunjukkan taring sebenar dengan melakukan taktikal ‘all out attack’ bagi meraih tiga mata penting ke atas Vietnam dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027 malam ini.
Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski tidak mahu mengecewakan kehadiran puluhan ribu penyokong yang akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pastinya mengharapkan aksi dramatik pada perlawanan bertemu skuad Naga Emas nanti.
Menurut Cklamovski, kehendak penyokong yang dahagakan kemenangan sangat mudah difahami memandangkan sudah lebih 11 tahun tidak menang ke atas seteru Asia Tenggara itu.
“Saya faham situasi itu (jangkaan tinggi penyokong). Namun, saya percaya pemain ada mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan dihadapi dan kita pun sudah lama tidak menang ke atas Vietnam.

“Jadi, kita tidak perlu rasa takut dengan mereka kerana perlawanan ini adalah cabaran yang perlu diambil oleh pemain. Saya harap kita dapat mencipta sedikit sejarah (malam ini).
“11 pemain yang berada di atas padang nanti tidak perlu takut apabila menentang Vietnam,” kata pengendali dari Australia itu.
Cklamovski turut memberi bayangan pertahanan baharu dari Argentina, Facundo Garces mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama bagi mengelak benteng Harimau Malaya dibocori pasukan pelawat.
“Garces adalah pemain berprestasi tinggi daripada pasukan La Liga (Alaves). Dia telah menunjukkan komitmen yang baik sepanjang bersama pasukan pada sesi latihan.
“Dia telah memberi tenaga dan aura tambahan dalam pasukan sama seperti pemain-pemain (warisan) lain. Siapa sahaja yang diturunkan, mereka tahu apa perlu dilakukan,” katanya.