LONDON – Thomas Frank bakal diumumkan secara rasmi sebagai pengurus baharu Tottenham Hotspur selepas kelab itu bersetuju membayar £10 juta (RM57.23 juta) kepada Brentford untuk menebus kontraknya.
Postecoglou secara rasmi dipecat oleh Spurs biarpun berjaya membantu pasukan itu meraih kejuaraan Liga Europa dan menamatkan penantian trofi selama 17 tahun, biarpun mengharungi musim buruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Menurut pakar perpindahan, Fabrizio Romano, rundingan antara Spurs dan Frank berjalan lancar, dengan kedua-dua pihak bersetuju mengenai syarat peribadi dan penyertaan staf kejurulatihan Frank.
Kegagalan Spurs dalam saingan domestik musim lalu dianggap sebagai punca utama penyingkiran Postecoglou, dengan pasukan itu hanya mampu menamatkan saingan di tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL) serta mencatatkan 22 kekalahan.
Pengerusi kelab, Daniel Levy dilaporkan tidak berpuas hati dengan prestasi buruk itu dan membuat keputusan drastik untuk melakukan perubahan segera menjelang musim baharu.
Sementara itu, Brentford kini dalam dilema untuk mencari pengganti Frank, dengan jurulatih muda Ipswich Town, Kieran McKenna, dilaporkan menjadi calon utama namun masih belum jelas sama ada beliau bersedia meninggalkan kelab yang baru dinaikkannya ke EPL.
Frank, berjaya membina reputasi sebagai pengurus berkaliber selepas membawa Brentford naik ke EPL pada 2021 dan memastikan kelab itu kekal stabil, termasuk menduduki tangga ke-10 musim lalu. – AGENSI