WASHINGTON – Enam orang terbunuh selepas sebuah pesawat terhempas ke dalam laut di luar pantai San Diego, lapor portal berita The Sun semalam.
Pesawat ringan jenis Cessna 414 membawa enam orang itu jatuh ke dalam laut pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan) selepas berlepas kelmarin.
Menurut laman berita KTAR, pesawat itu terbang rendah pada ketinggian cuma 304 meter di atas permukaan laut apabila menara kawalan meminta juruterbang meningkatkan altitud kepada 1,200 meter.
“Serpihan pesawat ditemui tetapi saya tidak tahu sebesar mana serpihan tersebut buat masa ini,” kata Pegawai Pasukan Pengawal Pantai, Ryan Graves kepada stesen televisyen KNSD.
Menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat, laut di kawasan itu memiliki kedalaman kira-kira 70 meter.
Akhbar The New York Times melaporkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sebagai berkata, tiada mangsa terselamat dalam nahas itu.
Setakat ini, identiti enam mangsa itu belum dikenal pasti, manakala usaha mencari mayat mereka diteruskan.
Rekod FAA menyenaraikan pesawat itu milik Optimal Health Systems iaitu syarikat menjual makanan tambahan berpangkalan di Pima, negeri Arizona.
Namun, syarikat itu berkata, pihaknya telah menjual pesawat tersebut kepada pembeli persendirian tahun lepas. – AGENSI