fbpx

Tetap hormati Vietnam tanpa ‘mesin gol’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAVIES

KUALA LUMPUR – Benteng pertahanan Harimau Malaya tidak akan ‘goyang kaki’ meskipun Vietnam kehilangan dua penggempur utama, Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Xuan Son menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 malam esok.

Kapten negara, Matthew Davies menyeru supaya semua pemain kekal fokus sepanjang 90 minit supaya misi meraih tiga mata penuh di Stadium Nasional Bukit Jalil dapat direalisasikan.

Kata Davies, barisan kejurulatihan lebih gemar memberikan fokus mengenai prestasi pasukan berbanding menilai kelebihan pemain individu pihak lawan.

“Kami perlu berada pada tahap terbaik dan bersedia segala kemungkinan. Jujurnya perbezaan terbesar di bawah Peter (Cklamovski) adalah kami tumpukan lebih perhatian terhadap aksi berpasukan.

“Kami langsung tidak fikir mengenai ketiadaan pemain penting pasukan lawan kerana jika ada, mereka pasti ada pengganti yang bagus untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Lebih baik fokus dengan persiapan sendiri kerana kami tahu kualiti yang ada pada Vietnam,” kata bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 30 tahun itu.

Davies juga mengakui rakan-rakan sudah semakin serasi dengan lima pemain warisan baharu yang telah melaporkan diri dalam kem latihan pusat Harimau Malaya sejak minggu lalu.

“Pada awalnya sudah tentu ada masalah komunikasi kerana jurang bahasa yang berbeza. Namun, kami semua berada di sini dengan misi yang sama untuk memikul tanggungjawab menyarung jersi kebangsaan.

“Saya harap kita tidak menilai mereka daripada sudut pandang yang berbeza kerana semua pemain ini ada kualiti dan sudah terbukti apabila beraksi (di peringkat kelab) di luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI