fbpx

Nahas UPSI: Syarikat pengendali bas nafi guna khidmat pemandu lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua buah bas yang berada di Pejabat Operasi Kenari Utara di Tunjong, Kota Bharu hari ini. -Foto MUSTAQIM MOHAMED / KOSMO!

KOTA BHARU – Syarikat bas yang terlibat dalam nahas meragut nyawa seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak hari ini menafikan pihaknya menggunakan pemandu lori sebagai pemandu gantian untuk bertugas.

Pegawai Operasi Kenari Utara Travel And Tours (Kenari Utara), Mohd. Nazri Nawi menegaskan, pihaknya telah menggunakan khidmat seorang pemandu berpengalaman yang 52 tahun dari sebuah syarikat pengendali bas ekspres lain sebagai pemandu kedua bas berkenaan.

“Saya tidak tahu daripada mana timbul dakwaan yang mengatakan kami mengambil pemandu lori sebagai pemandu bas dalam kejadian itu. Ia mungkin tanggapan melulu netizen di media sosial. Saya menafikan dan pihak kami pastinya tidak akan ambil pemandu sembarangan.

“Bas itu sepatutnya dikendalikan oleh dua pemandu, tetapi salah seorang daripada mereka bercuti. Jadi, kita pinjam seorang pemandu yang sudah ada pengalaman membawa bas ekspres daripada syarikat lain sebagai pemandu kedua,” katanya ketika ditemui di Pejabat Operasi Kenari Utara di Tunjong, di sini hari ini.

Mohd. Nazri memberitahu, kedua-dua pemandu mempunyai rekod bersih dan telah dipastikan bebas daripada penggunaan bahan terlarang semasa menjalankan tugas mereka.

Menurutnya, beliau turut dimaklumkan oleh pihak Hospital Gerik bahawa pemandu utama yang merupakan kakitangan Kenari Utara patah tangan dalam kejadian itu, namun pemandu kedua dipercayai mengalami kecederaan sedikit kritikal.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat pastikan tahap kecederaan kritikal pemandu kedua itu kerana masih belum berhubung dengannya. Saya juga tidak mendapat maklumat sama ada pemandu pertama atau kedua yang memandu ketika kejadian berlaku.

“Saya cuma mendapat panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1 pagi tadi sebelum terus ke lokasi kejadian. Saya tidak sempat bertemu kedua-dua pemandu kerana mereka telah dibawa ke hospital. Saya turut dimaklumkan oleh pihak Hospital Gerik bahawa kedua-dua pemandu akan dirujuk ke Hospital Taiping,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Nazri berkata, pihaknya sedia memberi sepenuh kerjasama kepada pihak pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan akan menyediakan semua dokumen diperlukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI