PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), awal pagi tadi.
Perkara itu disampaikan Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad bagi mewakili seluruh warga JBPM.
“Semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Didoakan agar seluruh ahli keluarga yang terkesan diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi, seramai 48 mangsa terlibat dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB.
Akibat insiden itu, seramai 13 mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital sementara 28 yang lain mengalami kecederaan termasuk pemandu dan kelindan bas berkenaan.
Difahamkan, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE