IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menyediakan bantuan menyeluruh kepada waris 15 pelajar yang maut dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik hari ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, semuanya barangan peribadi 15 mangsa tersebut akan dihantar kepada setiap keluarga tanpa memerlukan mereka mengambilnya.
“Barang-barang arwah kita akan hantar ke kampung masing-masing tanpa perlu waris mengambilnya dan kebajikan kita akan utamakan termasuk pelajar yang mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Katanya, UPSI akan turut membantu daripada sudut kaunseling kepada waris pelajar yang terlibat.
Beliau menasihatkan individu yang ingin menyumbang kepada keluarga waris boleh melalui Tabung UPSI Prihatin dan Tabung Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari Facebook dan laman web rasmi UPSI. Kami akan pastikan semua sumbangan akan diaudit selain disampaikan terus kepada penerimanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE