JERANTUT – Mayat lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) mental, Sabri Ismail, 36, dijumpai kira-kira 300 meter (m) dari rumahnya di Taman Sri Embun di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, mangsa yang hilang sejak 2 Jun lalu ditemukan pada pukul 10.20 pagi dengan keadaan fizikalnya yang kembung dan mula mereput.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, mangsa disedari hilang selepas kakaknya yang berada di Kuala Lumpur menerima panggilan daripada jiran memberitahu lelaki itu tidak sihat dan mengganggu orang awam di kawasan taman perumahan.
Katanya, pada 7 Jun lalu, kakaknya kemudian pulang ke daerah ini untuk melihat keadaan mangsa, namun mendapati lelaki itu tiada di rumah. Beg pinggang dan motosikalnya ditinggalkan di rumah.
“Kakaknya kemudian mencari di kawasan sekitar, tetapi tidak menjumpai adiknya sebelum datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.
Sementara itu, abang sulung mangsa, Datuk Azli Ismail berkata, dia mengetahui anak kesembilan daripada 11 beradik itu keluar dari rumah, namun tidak mengesyaki apa-apa.
“Adik saya ada masalah gangguan mental sejak kecil dan kerap memakan ubat. Kadang-kadang normal dan ada ketikanya alami gangguan mental. Dia tinggal di rumah arwah bapa seorang diri, kadang kala berteman dengan seorang rakan lelaki.
“Dia menggunakan wang yang diberikan kami selain bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk berbelanja selepas kematian ibu bapa kami beberapa tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE