JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi sebuah lori terlebih muatan dipandu secara bengkang-bengkok dalam keadaan laju, lapor laman berita iNews hari ini.
Kejadian berlaku di Jalan Raya Sumbersuko, Lumajang, wilayah Jawa Timur.
Unit Trafik Polis Lumajang segera bertindak dengan mengenal pasti pemandu dan menyita lori berkenaan.
Walaupun pemandunya melarikan diri, polis telah menahan pemilik lori tersebut, Yudi Ardiansyah.
Menurut Yudi, pemandu lori tersebut sengaja memandu dengan cara berbahaya untuk menghasilkan video kandungan media sosial.
“Ketika saya menghubungi pemandu untuk mengesahkan video tersebut, dia mengaku sekadar menghasilkan kandungan.
“Saya selaku pemilik lori memohon maaf kepada semua pihak,” katanya.
Lori tersebut sudah disita, manakala pemandunya disaman.
Yudi pula diberi amaran kerana membenarkan lori membawa muatan melebihi had yang sepatutnya. – AGENSI