fbpx
Hidangan daging lembu wagyu yang ditawarkan di Campfyre, Coffee & Steak Chara Kampong, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Santai, makan stik berkonsepkan perkhemahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Penggemar stik di Pulau Pinang tidak perlu memandu jauh hingga beratus-ratus kilometer untuk menikmati rasa sebenar daging wagyu dan angus yang dihidangkan dalam suasana camping di sebuah dusun buah-buahan.

Bertempat di Campfyre, Coffee & Steak Chara Kampong, Permatang Berangan B, Tasek Gelugor, lokasinya terletak hanya kira-kira 10 minit dari Plaza Tol Bertam.

Boleh dikatakan di sini antara port paling sesuai untuk peminat daging premium dan kaki camping ‘bersidang’ sambil menikmati stik pada harga yang mampu milik.

Dengan moto Everyone Can Eats Steak, pemiliknya, Shermann Shamshudin, 50, yang merupakan bekas pramugara Malaysia Airlines Berhad (MAS) berjaya mencipta kelainan apabila memilih menyajikan hidangan stik di lokasi dianggap strategik.

Menurutnya, pengalaman mengelilingi dunia sambil menerokai hidangan stik telah memberi inspirasi untuknya dan seorang lagi rakan kongsi membuka perniagaan di Pulau Pinang pada 31 Disember tahun lalu.

“Kami tahu ramai dalam kalangan kita yang mahu merasai menu hidangan daging wagyu dan angus. Oleh itu, kami cuba menunaikan keinginan mereka dengan memberi satu kelainan dengan berkonsep camping di dalam dusun buah-buahan.

“Kami memperkenalkan harga bagi daging wagyu antara RM85 hingga RM105, manakala angus pula sekitar RM55 hingga RM75. Biasanya, pelanggan lebih gemar memilih masakan ‘medium well’ dan ini yang kami syorkan kepada mereka.

“Di sini, kami menyediakan cara masakan grill dan pan. Terpulang kepada pelanggan, penyediaan daging ini mengikut cita rasa dan keinginan mereka.

“Selain dua menu tersebut, kami juga menyajikan hidangan grilled chicken blackpepper pada harga RM16.90 (single) dan RM25 (double). Bagi penggemar daging kambing, kami turut menyediakan menu lamb shoulder pada harga RM35 setiap set,” katanya kepada CitaRasa.

‘VIBE’ seperti perkhemahan diwujudkan dengan penggunaan meja dan kerusi lipat.

Dalam pada itu katanya, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menikmati menu tambahan lain seperti nuget ayam, bebola daging setengah dozen, sosej keju, sup cendawan yang dihidangkan bersama roti bawang (garlic bread) dan kentang goreng. Harga bagi setiap hidangan ini adalah antara RM6 hingga RM12.

Bagi minuman pula, antara yang menjadi pilihan pelanggan adalah air strawberry sunset dan yogurt serta minuman berasaskan kopi.

Mengenai konsep yang ditampilkan itu katanya, mereka berusaha mengetengahkan suasana camping dengan berbumbungkan khemah dan payung.

“Seperti berada dalam ‘vibes’ perkhemahan sebenar sambil duduk mengelilingi unggun api. Penggunaan meja dan kerusi lipat juga dilihat seakan berada dalam perkhemahan yang realiti,” ujarnya.

Tambahnya, pelanggan boleh datang terus ke premis atau menempah terlebih dahulu menu yang ingin dinikmati termasuk turut menerima tempahan untuk pelbagai majlis jamuan.

Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, boleh melayari https://g.co/kgs/nEV9RdE untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN