PETALING JAYA – Pempengaruh Mekyun memahami perasaan kaum India atau Cina yang bagaikan sukar menerima ibadah menyembelih haiwan yang dijalankan umat Islam semasa Hari Raya Aidiladha.
Ujar Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yu Nee, 28, ibadah korban yang disunatkan menyembelih haiwan dilakukan mengikut syarak tanpa menyeksa haiwan.
“Saya perasan ada segelintir orang yang susah nak terima atau mempertikaikan amalan korban masa Raya Haji terutama bab sembelih haiwan.
“Untuk orang Islam, sembelih dibuat dengan penuh beradab ikut sunnah, bukan secara kejam.
“Ini melambangkan pengorbanan, keikhlasan dan semangat berkongsi rezeki,” katanya dalam Threads.
Pada masa sama, wanita Tionghua asal Kelantan itu menasihati setiap orang perlu menghormati amalan agama masing-masing.
“Daging korban pun diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
“Kita semua datang dari latar belakang dan kepercayaan yang berbeza.
“Tapi dari situ juga kita belajar untuk faham dan hormat antara satu sama lain,” ujarnya lagi.
Hantaran Mekyun dipercayai hanya untuk memberi nasihat dan pengetahuan buat kaum bukan agama Islam. – KOSMO! ONLINE