SHAH ALAM – Pencarian pasangan suami isteri yang hilang di laut sejak dua hari lalu berakhir apabila mayat mereka ditemukan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, mangsa, Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, dijumpai pada pukul pukul 8 pagi.
“Dua mayat itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada waris mereka.
“Susulan itu, Pusat Taklimat Tempat Kejadian (PTPK) telah ditutup,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Maritim Negeri Selangor, Leftenan Mohd Syafiq Sazali, mayat pasangan itu ditemukan selepas rondaan di kawasan berhampiran Pusat Hidrografi Nasional di sini.
Jarak lokasi penemuan mayat dengan Pusat Hidrografi Nasional dianggarkan 0.1 batu nautika.
“Kedua-dua mayat ditemui terapung pada jarak 200 meter antara satu sama lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE