PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap aktivis kontroversi, Fahmi Reza seperti yang dilaporkan semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun aktivis itu atau nama sebenarnya Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin dimasukkan dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman PDRM.
Katanya, ini berikutan siasatan kes melibatkan individu itu yang masih dijalankan pihak polis.
“Namun harus ditegaskan senarai ini tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Berikutan itu, terdapat kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara semalam menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, perkara tersebut sedang diteliti dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemas prosedur sedia ada.
Katanya, PDRM kekal komited melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak setiap rakyat Malaysia dan individu terbabit bebas melakukan perjalanan seperti biasa tertakluk peraturan yang ditetapkan Jabatan Imigresen dan undang-undang lain yang berkaitan.
Semalam Kosmo! melaporkan Fahmi mendakwa dihalang untuk ke luar negara selepas disenarai hitam dari memasuki Sabah baru-baru ini.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata, dia mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Singapura. – KOSMO! ONLINE