SEBAIK sahaja situasi Covid-19 di seluruh dunia sudah semakin mereda tiga tahun lalu, bapa, ibu dan kakak penulis mula tidak sabar-sabar untuk bercuti memandangkan sudah begitu lama kami tidak berpeluang bercuti ke luar negara akibat sekatan perjalanan.
Memandangkan bapa seorang yang cukup sukakan tempat bersejarah, maka kami sekeluarga sepakat memilih untuk berkunjung ke bumi Balkan.
Kami memutuskan untuk mengambil pakej percutian daripada sebuah agensi pelancongan terkemuka kerana menurut bapa, kali ini, dia mahu merasai pengalaman mengikuti trip yang diatur agensi pelancongan tanpa perlu pening kepala merancang setiap destinasi yang mahu dikunjungi.
Kami berkunjung ke lima buah negara di Balkan iaitu North Macedonia, Bosnia dan Herzegovina, Bulgaria, Montenegro serta Croatia. Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah percutian di North Macedonia.
Jika diikutkan, saya sama sekali tidak pernah terfikir akan menjejakkan kaki ke negara-negara Balkan memandangkan jiwa saya lebih sukakan negara-negara Eropah yang lain seperti Jerman dan juga Itali.
Namun, saya ternyata jatuh cinta dengan keindahan bumi Balkan yang cukup kaya dengan binaan bersejarah dan juga pemandangan memukau.
Kami menaiki pesawat Turkish Airlines dan destinasi pertama kami adalah di Skopje, North Macedonia.Memandangkan kami tiba di sana pada waktu pagi, maka kami ada masa terluang untuk berjalan-jalan di kawasan berhampiran hotel sebelum proses mendaftar masuk.
Destinasi pertama kami pada pagi itu adalah melihat dan bergambar di Statue Alexander yang merupakan salah satu lambang kemegahan negara itu.
Selepas itu, kami makan tengah hari di sebuah restoran berhampiran hotel dan dihidangkan dengan menu berupa roti dan juga salad yang merupakan makanan ruji mereka.
Selepas mendaftar masuk, kami merehatkan diri sebelum menunaikan solat maghrib. Memandangkan waktu maghrib adalah awal iaitu sekitar pukul 4 petang, maka kami yang keletihan memutuskan untuk tidur awal.
Keesokan harinya, kami dijadualkan untuk mengikuti perjalanan ke tasik Ohrid yang merupakan salah satu tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Tasik Ohrid terkenal dengan warna hijau kebiru-biruannya yang memukau dan merupakan salah satu tasik paling dalam di benua itu dan menjadi habitat lebih 200 spesies hidupan endemik. Menarik juga dan saya sama sekali tidak pernah terfikir akan sampai ke sana.
Selepas itu, kami berjalan-jalan di sekitar bandar Ohrid yang kaya dengan pelbagai binaan bersejarah.
Kemudian, kami juga berkesempatan mengunjungi masjid Sarena Dzamija yang bermaksud masjid yang dilukis terletak di Tetovo. Saya terpukau melihat binaannya yang cantik, lebih-lebih lagi pada bahagian dalamnya.
Menurut pemandu pelancong tempatan, masjid itu asalnya dibina pada tahun 1438, namun kemudiannya dibina semula pada kurun ke-18.
Selepas itu, kami juga mengunjungi sebuah kedai mutiara yang terkenal di situ untuk melihat jenis-jenis produk mutiara yang dijual.
Sebelum kembali semula ke hotel, kami singgah makan sebentar di sebuah restoran yang menyajikan menu berupa nasi bersama ayam panggang.
Kami kembali ke hotel sekitar pukul 4 petang untuk berehat dan bersiap sedia untuk hari seterusnya.
Biarpun singkat, namun saya gembira kerana berkesempatan melihat bumi Macedonia yang dipenuhi dengan pemandangan menarik.
Jika berksempatan, saya mahu kembali lagi ke situ kerana suasananya damai selain mata wang yang murah jika dibandingkan negara-negara Eropah yang lain.
















