KLANG – Perjalanan enam termasuk tiga beranak dalam sebuah bot dipercayai dalam ujian pelayaran bertukar tragedi dengan tiga daripadanya maut selepas bot berkenan terbalik kira-kira 0.3 batu nautika barat perairan Tanjung Harapan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mereka yang maut adalah Darren Gan, 3, Cheu Son Hin, 50 dan Fong Yong Sen, 29.
Ibu bapa kepada Darren iaitu Gan Hon Tat, 32 dan Careen Man, 29 masih dilaporkan hilang manakala seorang pekerja bot tersebut, Chang Yan Qin Alvin, 17 tahun, terselamat.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diaktifkan pukul 5.16 petang oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru selepas menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.
Katanya, operasi digerakkan dengan penyertaan aset Maritim Malaysia dan dibantu agensi sahabat seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sokongan bot penumpang berhampiran lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati bot berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik.
“Tiga disahkan meninggal dunia dengan darren dan Son Hin ditemui dalam ruang hadapan bot itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, bot tersebut dalam ujian perjalanan selepas siap dibaiki akibat rosak sebelum ini.
Jelas Abdul Muhaimin, bot tersebut telah berjaya ditunda ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor.
Tambah beliau, operasi Carilamat bagi mengesan pasangan suami dilaporkan hilang disambung pukul 7 pagi ini. – KOSMO! ONLINE