fbpx

Taktikal padu pacu Wei Chong-Kai Wun ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan rentak cemerlang apabila memastikan tiket ke separuh akhir Terbuka Indonesia 2025 menjadi milik mereka.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menyifatkan strategi ampuh menjadi kunci kemenangan mereka untuk ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta tersebut, pasangan negara itu mempersembahkan aksi cukup baik dan strategi cukup ampuh untuk menundukkan  India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-19, 21-16 dalam tempoh 43 minit.

Kemenangan berkenaan bukan sahaja melayakkan mereka ke peringkat empat terbaik kejohanan berstatus Super 1000, malah menamatkan rekod empat kekalahan berturut-turut kepada pasangan India itu sebelum ini.

Bagi Kai Wun, mereka gembira dengan pencapaian kali ini terutama peningkatan prestasi mereka di setiap kejohanan disertai mereka.

“Saya rasa ini sesuatu yang baik untuk kami. Perlahan-lahan kami kembali dan bermain dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Man Wei Chong berkata, mereka tidak terlalu menekan diri untuk menang, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada pelan taktikal yang telah ditetapkan.

“Dari segi kekuatan dan kelajuan, pasangan India memang lebih baik. Jadi kami fokus kepada strategi permainan kami sendiri tanpa fikir sangat soal menang atau kalah,” ujarnya.

Dalam satu lagi perlawanan, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan ke pentas separuh akhir selepas garang menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-6, 21-18 dalam masa 37 minit.

Selepas ini, Pearly-Thinaah akan berdepan tugas getir selepas dijadual menentang gandingan China, Li Yi Jing-Luo Xu Min esok. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI