SEWAKTU pertama kali menghidu haruman daripada jenama Medin Fragrance itu tahun lalu, hati Farah Saidi, 26, sudah tertarik bahkan mengakui tidak menyangka bauan itu merupakan minyak wangi jenama tempatan.
Bertitik tolak dari itu, Farah yang merupakan peminat pelbagai haruman jenama antarabangsa mula meneroka dan membuat kajian berkenaan jenama tempatan lalu dibandingkan dengan minyak wangi jenama antarabangsa yang mendominasi pasaran.
“Sejujurnya, sebelum ini, saya agak skeptikal tentang jenama minyak wangi tempatan dan mengaitkannya dengan kualiti yang rendah.
“Selain itu, saya juga tidak suka apabila kebanyakan produk lokal tidak mempunyai identiti sendiri dan lebih banyak meniru bauan minyak wangi sedia ada.
“Begitu pun, sejak tahun lalu, saya mula mengenali beberapa jenama haruman tempatan yang saya sifatkan ada bau tersendiri dan berkualiti tinggi,” katanya kepada CitaRasa.
Pekerja syarikat swasta di ibu kota itu mula diperkenalkan dengan jenama minyak wangi tempatan oleh adiknya dan mengakui tertarik, lebih-lebih lagi selepas dia nekad memboikot jenama antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Selepas menyedari jenama tempatan turut menawarkan pilihan minyak wangi yang berkualiti pada harga berpatutan, Farah mula membuang persepsi negatifnya terhadap jenama tempatan.
“Kita sedia maklum banyak jenama antarabangsa kini yang disenaraikan dalam jenama diboikot. Oleh sebab itu, saya nekad mencari produk alternatif lalu mula mencuba jenama tempatan.
“Saya sukakan bauan manis atau disebut gourmand dalam komuniti minyak wangi. Saya melihat jenama Medin Fragrance antara jenama yang menghasilkan minyak wangi gourmand yang sesuai dengan cita rasa saya.
“Wangian pilihan saya adalah wangian bernama Dayang yang mempunyai gabungan bauan coklat (koko), karamel, vanila dan sedikit bauan rempah,” katanya.

Selain jenama tempatan, carian mengenai minyak wangi di TikTok turut mendedahkan Farah kepada pelbagai jenama minyak wangi dari negara jiran, Indonesia yang kini merekodkan perkembangan cukup memberangsangkan dalam industri penghasilan minyak wangi di rantau ini. Antara jenama popular seperti Mykonos dan juga Alchemis kini menjadi buruan orang ramai sehingga kehabisan stok.
Bahkan, kebangkitan industri haruman dari dua negara ini juga telah mendorong penganjuran dua festival minyak wangi di kedua-dua buah negara iaitu Jakarta X Beauty (JXB) di Jakarta dan Fragrance Festival Malaysia (FFM) di Kuala Lumpur.
Sesetengah jenama minyak wangi Malaysia juga mengetengahkan nama-nama-nama seperti Dayang, Kesidang, Kesuma, Merong Mahawangsa, Teja, Mahsuri, Santubong dan lain-lain.
Banyak juga yang mengetengahkan ramuan-ramuan bauan yang sinonim rantau ini misalnya kelapa, daun pandan, bunga raya, pisang, nanas, betik, tembikai dan lain-lain.
Jenama Malaysia, Avwa misalnya mengeluarkan haruman mangga, tembikai laici, pisang, kulit asam dan lain-lain.
Jenama Monaleaf Malaysia yang juga menjadi pilihan pengguna aplikasi TikTok diminati kerana seleksi bauannya yang menarik dan sesuai dipakai dalam cuaca panas Malaysia.
Varian coconut white tea misalnya yang menggabungkan bauan kelapa, teh, halia, bunga lili dan chamomile mempunyai bauan yang ‘ringan’, menjadikan sesuai dipakai di Malaysia dan Indonesia yang mempunyai iklim panas lembap sepanjang tahun.
Harga yang berpatutan dengan kualiti niche antara faktor yang menjadikan pengguna memilih haruman lokal dan negara jiran itu untuk kegunaan harian, sekali gus menggantikan haruman jenama antarabangsa.
Biarpun bukan negara pengeluar minyak wangi dunia, kebangkitan minyak wangi jenama tempatan dan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini disifatkan sebagai sesuatu yang mengagumkan, khususnya apabila haruman dijadikan medium menceritakan sejarah.
Millenials atau Gen Z telah membantu menaikkan industri minyak wangi Nusantara apabila menjadikan haruman sebagai cara mengekspresi diri.

Selain itu, platform seperti TikTok dan Instagram juga membantu menyerlahkan lagi jenama tempatan dan Indonesia apabila semakin ramai pempengaruh yang berkongsi kandungan seperti sesi unboxing dan tip perfume layering (melapiskan bau antara dua minyak wangi atau lebih).
Bagi seorang peminat minyak wangi yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrul, 35, kualiti yang ada pada jenama tempatan dan Indonesia boleh dikatakan setanding jenama luar, menjadikan dia sentiasa memburu haruman jenama Nusantara ini.
“Biarpun bukan negara pengeluar minyak wangi seperti Perancis atau Itali, namun sejak beberapa tahun ini, Malaysia dan Indonesia sudah banyak menghasilkan haruman dan jenama artisan yang pada saya berkualiti tinggi.
“Lebih menarik, harganya juga berpatutan dan mampu milik, memudahkan saya mencuba banyak haruman dalam satu-satu masa,” katanya.
Pekerja sebuah syarikat swasta di Kedah itu menambah, oleh kerana harga yang mampu milik iaitu sekitar RM50 hingga RM180 sebotol, dia sanggup terbang ke Indonesia untuk menambah koleksi minyak wangi miliknya dari negara jiran itu.
“Biasanya saya akan terbang ke sana sekitar dua atau tiga bulan sekali untuk mencuba haruman baharu yang ada di pasaran, selain turut menjadi ‘personal shopper’ buat rakan-rakan yang sama-sama mula gilakan minyak wangi dari Indonesia. Antara jenama yang saya suka adalah Oullu, HMNS, Usual Parfums, LaNoesantara dan Alien Objects.
“Bagi saya, jenama-jenama ini menghasilkan minyak wangi dengan kualiti setanding jenama antarabangsa, bahkan kaya dengan elemen Nusantara seperti bauan pandan dan juga bunga cempaka yang sinonim Bali,” katanya.
Shahrul turut memuji tindakan pempengaruh dari Malaysia dan Indonesia yang sama-sama berkongsi maklumat tentang minyak wangi keluaran negara masing-masing.
“Jika anda membuat carian tentang minyak wangi jenama Indonesia dan Malaysia di TikTok, anda akan nampak ramai pempengaruh atau pencipta kandungan yang memuat naik video ‘perfume recommendations’ masing-masing yang menambah lagi keinginan untuk meneroka haruman ini,” jelasnya.
Berkongsi dengan CitaRasa, pengasas jenama Malay Perfumery, Fazzilah Noordin teruja apabila koleksi minyak wangi berasaskan identiti Melayu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan peminat minyak wangi di negara ini.
Dilancarkan di TROVE yang merupakan gedung menjual minyak wangi jenama antarabangsa di pusat beli-belah Pavilion Damansara Heights baru-baru ini, koleksi minyak wangi Malay Perfumery didorong matlamat Fazzilah untuk terus menghidupkan peradaban Melayu.
“Matlamat Malay Perfumery adalah untuk mencetus minat terhadap wangian dari alam Melayu yang jarang ditemui di pasaran.
“Penceritaan di sebalik setiap wangian melakar penggunaan bahan-bahan yang belum pernah diteroka jenama lain, dalam cara yang unik. Bagi saya, peradaban Melayu bukan untuk tontonan di muzium tetapi ia perlu hidup dalam diri kita seharian supaya tidak pupus,” katanya.
Fazzilah menghasilkan seleksi minyak wangi dengan identiti Melayu lampau seperti Fleur de Rampai, Hang Li Po dan Oud Malay.
“Bagi mencipta haruman yang beridentiti Melayu, saya sering memerhati cara hidup orang Melayu. Daripada pemerhatian ini, contohnya cara orang Melayu berinteraksi dengan alam semula jadi, saya dapat memahami karakter orang Melayu itu sendiri dan mengagak respons mereka terhadap jenis-jenis bauan yang kemudiannya saya terapkan di dalam haruman.
“Wangian ‘Fleur de Rampai’ paling mencabar kerana bauan pandan yang tahan lama tidak mudah untuk ditiru.
“Bahkan, bagi wangian ini, saya mengambil masa yang lama untuk menjadikan Fleur de Rampai betul-betul bau bunga rampai yang ramai orang kenal,” katanya.
Bagi pengasas Medin Fragrance, Mohd. Fitri Mohamad Phahimi, 36, dia berhasrat untuk mencerminkan kebudayaan dan sejarah Malaysia menerusi seleksi haruman yang ditawarkan.
“Koleksi Kuala Lumpur Series yang diperkenalkan pada 2023 merupakan satu line up yang menterjemah sejarah sesuatu tempat itu dalam bentuk wangian,” katanya.
Jenama yang diberi jolokan ‘jenama lokal haruman terpaling Malaysia’ itu juga telah mengeluarkan siri lain antaranya Srikandi.
Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia bersyukur apabila melihat golongan muda lebih terbuka untuk berbelanja dan meneroka seleksi minyak wangi jenama lokal.
“Ini seterusnya boleh membantu industri minyak wangi tempatan menjadi lebih besar dan mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa,” katanya.















