PETALING JAYA – Cubaan sekumpulan warga asing menjadikan rumah sewa sebagai premis ‘homestay’ haram akhirnya terbongkar apabila lokasi mereka diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu Operasi Khas di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Serbuan yang dijalankan pada 3 Jun lalu sekitar pukul 2.57 petang itu melibatkan dua lokasi utama iaitu di Jalan Ipoh dan Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Operasi berkenaan digerakkan oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Ismail Mokhtar, seramai 13 individu warga asing ditahan dalam operasi itu, terdiri daripada sembilan lelaki dan satu wanita warganegara Bangladesh, seorang lelaki Indonesia, seorang wanita India dan seorang wanita Filipina berusia antara 24 hingga 40 tahun.
“Hasil semakan awal mendapati enam daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah sektor pembinaan dan pembersihan, manakala tujuh lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara barangan yang disita termasuk salinan perjanjian sewa rumah, empat pasport Bangladesh, masing-masing satu pasport Indonesia dan India, 48 kad akses, sebuah komputer riba, tiga telefon bimbit, borang maklumat tetamu homestay serta wang tunai berjumlah RM74,000 dan USD2,160.
Ismail memberitahu, kesemua warga asing yang ditahan dipercayai berperanan sebagai ‘ejen homestay’ dengan menyewa unit kediaman milik warga tempatan sebelum menyewakannya semula kepada pelanggan menerusi platform dalam talian.
“Bayaran yang dikenakan untuk satu malam penginapan adalah antara RM80 hingga RM400 bergantung kepada saiz bilik, dan aktiviti ini dipercayai telah berjalan selama setahun,” katanya.
Menurutnya lagi, seramai tiga lelaki dan satu wanita Bangladesh, seorang lelaki Indonesia dan seorang wanita India ditahan kerana disyaki melanggar Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Baki yang lain pula ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah.
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala enam warga tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Jabatan Imigresen turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). -KOSMO! ONLINE