MELAKA – Seorang remaja dikhuatiri sesat apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari lembu di dalam hutan di kawasan Kampung Permatang Pasir, di sini malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.54 malam.
Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dikejarkan ke lokasi bersama-sama sebuah jentera dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Kita dimaklumkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun hilang selepas keluar mencari lembu sejak petang semalam di lokasi berkenaan. Anggota kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Akhbar Abdol Karim.
“Bagaimanapun, mangsa gagal ditemui dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 1.35 pagi tadi sebelum disambung semula kira-kira pukul 7 pagi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE