SHAH ALAM – Pusat Tuisyen PTTI menyerahkan tajaan sebanyak RM100,000 kepada Parlimen Muar, Johor khusus untuk membantu pelajar kurang berkemampuan bagi persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sumbangan tersebut disalurkan terus kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menerusi tajaan itu, pelajar terpilih akan menerima bantuan pendidikan termasuk akses kepada kelas tuisyen dalam talian kendalian PTTI serta kemudahan pembelajaran lain.
Syed Saddiq berkata, tajaan itu sebagai satu bentuk pelaburan besar dalam masa depan anak-anak Malaysia, khususnya daripada golongan keluarga berpendapatan rendah.
“Saya kena ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat besar. Pendidikan memang merupakan keutamaan anak-anak kita dan bukan semua ada kesempatan atau kemampuan untuk mendapat akses kepada kelas tuisyen yang berkualiti.
“PTTI sendiri telah membuktikan rekod prestasi yang sangat baik, malah antara terbaik dalam mendidik anak-anak untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya pada majlis Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang diadakan di IDCC Shah Alam, hari ini.
Pada majlis itu, hampir 4,000 calon SPM dari seluruh negara hadir pada program khas yang direka untuk membakar semangat calon SPM dengan bimbingan secara bersemuka daripada Pakar SPM PTTI.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, daripada jumlah keseluruhan tajaan itu, sebanyak RM20,000 yang disalurkan secara langsung kepada beliau akan disumbangkan sepenuhnya semula kepada pelajar melalui pembelian komputer riba dan tablet yang akan diserahkan menjelang Hari Raya Aidiladha ini.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM120,000. Saya berdoa agar PTTI terus dapat mengangkat kualiti dan martabat pendidikan negara tercinta kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau Cikgu Farhana berkata, langkag berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen organisasi tersebut dalam mendekati pelajar yang memerlukan sokongan akademik, terutama dalam subjek-subjek kritikal.
“Pengalaman kami lebih 10 tahun memimpin PTTI membolehkan kami membantu lebih 800,000 pelajar, termasuk 400 pelajar yang berjaya mendapat straight A pada SPM 2024 yang lalu.
“Kami percaya dengan teknik dan formula PTTI, lebih ramai pelajar dapat dibantu untuk cemerlang, terutamanya dalam subjek Sains Tulen seperti Matematik, Fizik dan Kimia yang kita tahu amat mencabar,” katanya.
Dalam masa sama, PTTI turut mencatat kejayaan berganda apabila berjaya merangkul dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu Most Straight A’s in a Tuition apabila 400 pelajar PTTI memperoleh semua A serta Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition dengan 18,432 gred A dikumpulkan oleh pelajar PTTI. -KOSMO! ONLINE