fbpx

Pengorbanan Holgado demi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HOLGADO dianggap antara penyerang berbisa dimiliki Harimau Malaya untuk aksi menentang Vietnam pad 10 Jun ini. - MALAYSIA NT

KUALA LUMPUR – Jersi No. 9 Harimau Malaya hampir pasti menjadi milik penyerang berdarah warisan kelahiran Argentina, Rodrigo Holgado selepas diberi ‘lampu hijau’ untuk mewakili skuad kebangsaan bermula bulan ini.

Sejak menjadi pemain profesional pada tahun 2014 bersama San Lorenzo di Argentina, Holgado, 29, telah menyarung jersi hampir tujuh kelab sekitar Amerika Selatan dan dianggap seorang yang memiliki penyudah berbisa.

Pencapaian terbaiknya ketika mewakili Coquimbo Unido di Liga Chile apabila menjaringkan 18 gol daripada 29 penampilan pada 2018.

Secara keseluruhan, pemain kelahiran Buenos Aires itu telah merekodkan 94 gol di peringkat profesional dengan musim ini sahaja menyaksikan dia meledak lapan jaringan dalam 22 aksi bersama America de Cali di Liga Colombia.

Kehadiran penyerang dengan ketinggian 1.79 meter itu diharap menjadi solusi buat Harimau Malaya dalam misi meraih tiket automatik ke Piala Asia 2027 dengan Vietnam menjadi ujian pertama menjelang aksi kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.

HOLGADO (kanan) mengawal bola ketika menentang Racing dalam aksi Copa Sudamericana di Stadium Olimpico Pascual Guerrero, Cali, Colombia pada 27 Mei lalu. – AFP

Pengalaman Holgado beraksi enam perlawanan Copa Sudamericana musim ini dengan satu gol menentang jaguh Argentina, Racing Club pastinya ditagih Harimau Malaya selepas ini.

Ketajamannya tidak perlu dipertikaikan lagi apabila dia berkongsi kedudukan ketiga dalam carta penjaring terbanyak Liga Colombia musim ini bersama Jairo Molina dari pasukan Boyaca Chico,  masing-masing menerusi tujuh gol.

Pengorbanannya mewakili Harimau Malaya menyaksikan dia dicemuh penyokong-penyokong kelabnya kerana terlepas dua aksi penting menentang Deportes Tolima pada 8 dan 13 Jun yang mana keputusan negatif boleh menjejaskan peluang America de Cali menjuarai liga.

Bagaimanapun, Holgado berpeluang menambat semula hati penyokong jika berjaya membantu America de Cali mara ke peringkat 16 Copa Sudamericana musim ini dengan menewaskan wakil Brazil, Bahia dalam dua aksi playoff bulan depan. – KOSMO! ONLINE

PROFIL

Nama penuh: Rodrigo Julian Holgado

Umur: 30 tahun

Tarikh lahir: 28 Jun 1995 

Tempat lahir: Buenos Aires, Argentina

Ketinggian: 1.79 meter

Posisi: Penyerang

Kelab semasa: America de Cali (Colombia)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI