KUALA LUMPUR – Gara-gara diminta menyanyikan lagu sedih di sebuah majlis perkahwinan, penyanyi Imran Ajmain mengakui berasa serba salah hingga sukar melelapkan mata.
Ujar Imran atau nama sebenarnya Ahmad Imranullah Ahmad Husaini Ajmain, 44, situasi itu berlaku apabila seorang peminat menjemput Imran untuk membuat persembahan sempena hari bahagianya dan meminta lagu Dikalung Kasihan dinyanyikan secara langsung di hadapan para tetamu.
“Dia memang peminat saya dan jemput ke majlis kahwin. Tapi dia minta saya nyanyikan Dikalung Kasihan. Saya rasa serba tak kena, sebab lagu tu terlalu menyayat hati.
“Saya tak boleh tidur malam tu sebab rasa bersalah. Saya terfikir, ‘kenapa saya setuju nyanyi lagu ni dekat wedding orang?’,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun Seribu Tahun itu, meskipun bayaran persembahan dilunaskan dengan baik, keputusan untuk membawakan lagu tersebut terasa janggal sekali gus membuatkannya nekad untuk tidak mengulangi kesilapan sama.
“Orang kahwin ni kita datang untuk mendoakan, bukan untuk mengimbau kenangan luka.
“Walau dia bayar berapa sekalipun dan minta tambah lagu, saya akan pilih lagu lain yang lebih sesuai. Benda ni buat saya fikir panjang,” ujarnya pada majlis Private Listening Party untuk album baharu berjudul Sila Ambil Perhatian, di sini, malam tadi.
Sejak kejadian tersebut, artis asal Singapura menetapkan pendirian untuk tidak lagi menyanyikan lagu-lagu sedih dalam mana-mana majlis perkahwinan walaupun atas permintaan peminat.
“Lepas nyanyi lagu itu, saya betul-betul rasa berdosa. Majlis tu sepatutnya hari gembira, tapi saya datang bawa kesedihan.
“Saya serik. Lepas ni, kalau orang kahwin, saya takkan nyanyi lagu sedih saya lagi,” tegasnya.
Imran sebelum ini dikenali dengan lagu-lagu balada mendalam seperti Selamat Ulang Tahun Sayang, Seribu Tahun, dan Dikalung Kasihan yang sering menyentuh emosi pendengar. – KOSMO! ONLINE