KUALA LUMPUR – Imanol Machuca hadir sebagai bintang termahal dalam skuad Harimau Malaya dengan nilai €2.50 juta (RM12.0 juta) dan boleh diklasifikasikan sebagai pemain memiliki kemahiran teknikal terbaik.
Jika mengambil kira faktor usia, Machuca menjadi pemain warisan yang amat berbaloi untuk diberikan passport kerana baru saja mencecah usia 25 tahun pada Januari lalu.
Hadir selaku pemain sayap kanan, Machuca yang dilahirkan di Rolan, Argentina itu dilihat memenuhi kriteria dan agak sinonim dengan permainan bola sepak Malaysia yang berpaksikan serangan dari kawasan tepi padang.
Pengalaman bermain di pentas tertinggi bola sepak Argentina dan Brazil menjadi kelebihan utama kepada Machuca selain ketinggian ideal 1.70 meter mampu memaksa Arif Aiman Hanapi bekerja lebih keras bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Seperti Arif Aiman, Machuca yang memenangi Copa do Nordeste tahun lalu bersama kelab Brazil, Fortaleza memiliki kemahiran menggelecek selain cukup kreatif bermain di sebelah kiri memberikan fleksibiliti dan pilihan kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Di peringkat kelab, Machuca yang kini dipinjamkan ke Velez Sarsfield sehingga akhir musim ini dengan pilihan membelinya secara tetap, telah bermain 11 perlawanan termasuk lapan aksi Torneo Apertura, dua perlawanan Copa Argentina dan satu saingan Copa Libertadores.
Sebagai rekod, Velez layak beraksi di Copa Libertadores ketika ini selaku juara liga Argentina dan menyaksikan mereka berjaya menempatkan diri di tempat keenam fasa liga kejohanan tertinggi benua Amerika Selatan itu.
Velez dijadualkan bertemu Fortaleza di peringkat 16 terbaik Copa Libertadores yang akan berlangsung Ogos depan.
Sebagai info, Velez adalah pasukan yang berprofil tinggi di dunia kerana pernah diwakili legenda-legenda antaranya penjaga gol Paraguay, Jose Luis Chilavert, Nicolas Otamendi dan pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone. – KOSMO! ONLINE
PROFIL
Nama penuh: Imanol Javier Machuca
Umur: 25 tahun
Tarikh lahir: 15 Januari 2000
Tempat lahir: Roldan, Argentina
Ketinggian: 1.70 meter
Posisi: Sayap kanan/ sayap kiri
Kelab semasa: Velez Sarsfield (Argentina)
*dipinjamkan dari Fortaleza