KUALA LANGAT – Seorang kelindan lori maut tercampak selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah kenderaan di Jalan Seri Cheeding di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi, mangsa merupakan lelaki berusia 20an disahkan meninggal dunia pukul 8 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Banting ke Rimbayu.
Katanya, mangsa dipercayai telah bergesel dengan sebuah kenderaan dan nombor pendaftaran tidak pasti dari arah bertentangan.
“Akibatnya menyebabkan mangsa hilang kawalan dan tercampak ke atas permukaan jalan di lorong bertentangan.
“Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Banting dan polis sedang mengesan pemandu yang terlibat dalam kemalangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau turut meminta pemandu kenderaan yang terlibat agar tampil dan membuat laporan polis berkenaan kemalangan itu.
Tambah Akmalrizal, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Taneshwaran di talian 012-6708561 atau 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE