PETALING JAYA – Polis menahan dua individu bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan selepas lebih 80 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, ketika kejadian, pasukan petugas Op Haji Terkandas mengesan kehadiran sekumpulan jemaah di KLIA yang sedang menunggu ketibaan seorang individu bergelar Datuk.
“Individu tersebut dikatakan akan menyerahkan visa yang membolehkan mereka (jemaah) berlepas ke Tanah Suci.
“Namun visa yang dijanjikan tidak pernah diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, susulan itu, seorang mangsa tampil membuat laporan polis mendakwa beliau dan isteri telah menyerahkan pasport kepada dua individu yang menawarkan pakej haji secara percuma.
Katanya, pakej tersebut dipercayai dikendalikan agensi pelancongan yang berdaftar sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi tahun 2025.
“Mangsa dijanjikan penerbangan ke Mekah pada 1 Jun lalu, namun sehingga 3 Jun, tiada pengesahan penerbangan diterima daripada pihak syarikat berkenaan.
“Mangsa turut menyatakan kebimbangan maklumat peribadi dan pasport miliknya dan isteri disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau berkata, sebanyak tujuh laporan polis diterima berhubung kes itu dan tiada kerugian dilaporkan memandangkan pakej haji ditawarkan secara percuma.
Muhammed Hasbullah berkata, bertindak atas maklumat, seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 36 dan 39 tahun ditahan kerana disyaki menjadi dalang kepada kegiatan terbabit.
“Suspek semuanya dikatakan mempunyai gelaran Datuk, namun polis sedang siasat sama ada gelaran itu sahih atau tidak.
“Kedua-dua suspek direman sehari sehingga semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE