MELAKA – Pencarian remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) yang hilang ketika keluar mencari lembu di hutan Kampung Permatang Pasir di sini semalam menimbulkan pelbagai tanda tanya apabila hanya haiwan ternakan dicari muncul.
Lembu-lembu tersebut didakwa muncul sejurus azan dan ayat Kursi dilaungkan oleh ahli keluarga.
Remaja terbabit, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, atau lebih dikenali dengan panggilan Gemuk, bagaimanapun masih belum dapat dikesan.
Menurut bapa saudaranya, Muhamad Hamirudin Jahaya, 31, ahli keluarga segera melancarkan pencarian selepas mendapati mangsa tidak pulang ke rumah selepas pukul 7 malam.
“Kami mula cari sekitar kampung bila adik saya iaitu ibunya maklumkan Gemuk tak balik, adik-beradik dan saudara mara turut bantu cari, termasuklah di sekitar dua kolam terbiar yang dipercayai ‘keras’ oleh penduduk.
“Tiga kali kami ulang kawasan yang sama, tapi memang tak nampak apa-apa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambahnya, misi pencarian itu menimbulkan pelbagai tanda tanya apabila lembu-lembu yang sebelumnya hilang tiba-tiba muncul di kawasan kolam terbiar selepas azan dilaungkan.-KOSMO! ONLINE